Bagi peminat IRON MAIDEN, sedar tak sedar, sudah 15 buah album studio yang telah dirilis bermula dari tahun 1980. Saya terdiam sejenak memikirkan kembali bila masanya saya mula mendengar IRON MAIDEN. Tahun 1985 ketika saya berada di dalam Darjah 4. Saya dengan ditemani oleh bapa saya membeli kaset Powerslave yang original. Bermula sejak dari itu, saya yang memang sudah meminati muzik rock keras (Deep Purple, Scorpions etc) mula mengalihkan pandangan kepada muzik yang lebih keras; Heavy Metal. Saya dipanggil oleh KARISMA untuk membuat ulasan mengenai kesemua album IRON MAIDEN. Saya menerimanya tanpa banyak soal. Kemudian saya duduk terfikir, ini bukan kerja mudah. Ia memerlukan penulisan yang cantik dan kemas. Bukan saja kerana saya dijemput menulis tetapi lebih kerana saya sendiri adalah peminat tegar IRON MAIDEN.
IRON MAIDEN (1980)
Setelah bertungkus lumus menyiapkan sebuah band, Steve Harris akhirnya berjaya mengumpul 4 orang pemuzik yang beliau rasa sesuai dan sedia untuk meriliskan album pertama pada 14 April 1980. Sejarah mengenai penubuhan IRON MAIDEN ini sendiri cukup panjang dan menarik yang memerlukan sebuah artikel panjang berasingan untuk ditulis. Apapun, ketika rilisnya album ini, mereka telah ada peminat tegar yang tersendiri – yang mengekori setiap show mereka di timur London. Kelahiran rilisan berstatus legend, The Soundhouse Tape setahun sebelumnya juga banyak membantu dalam mempromosikan album pertama ini. Album ini nampaknya seperti album punk – hasil daripada lukisan muka depan yang memaparkan kepala Eddie dengan rambut yang menegak ke atas. Cuma ada sedikit kepelikan kerana walaupun rambutnya menegak ke atas, ianya panjang mengurai ke bahu – sesuatu yang tidak difesyenkan oleh gaya punk. Imej tengkorak dan hantu memang telah digunakan oleh pemuzik Metal dan Punk sejak lama lagi dan ini menambahkan lagi kekeliruan. Apabila diperhatikan kembali samada sedar atau tidak, lukisan ini sebenarnya menunjukkan elemen punk yang ada pada penyanyinya Paul Di’anno yang dikelilingi oleh pemuzik Metal di dalam IRON MAIDEN. Semua ini dinatijahkan di dalam lagu-lagu di dalam album ini. Prowler, Running Free, Transilvania dan Charlott the Harlot mempunyai elemen punk yang kuat (cuma riff gitar bertambah 4-5 kali ganda dari lagu punk yang biasa) – laju dan padu ditambah dengan suara Paul yang seperti antara menyanyi dan menjerit. Selebihnya adalah Heavy Metal yang kompleks dengan belitan riff gitar Dave Murray dan Dennis Stratton yang memukau. Ditambah dengan petikan bass dengan jari yang boleh dikatakan tersangat laju pada zaman itu mengiringi pukulan drum yang tepat dari Clive Burr. Album ini adalah sempurna sebagai album pertama IRON MAIDEN. Ia mempunyai kekuatan dan nilai keagresifan yang banyak menaikkan semangat peminat Heavy Metal yang rata-rata pada ketika itu berlegar di kalangan mereka yang berkolar biru yang mahu melupakan suasana hidup yang sukar.
KILLERS (1981)
Dalam masa kurang dari setahun, mereka telah meriliskan album kedua pada 2 Februari 1981. Album kedua menjadi album yang sangat kritikal. Apatah lagi jika album pertama memberikan impak yang sangat besar. Dalam hal ini, IRON MAIDEN dihimpit oleh tekanan untuk meriliskan album yang sekurang-kurangnya dapat duduk di takhta yang sama dengan album pertama mereka.Pada ketika ini, sindrom rock star mula melanda Paul Di’Anno. Beliau terperangkap dengan ketagihan dadah dan alkohol. Dennis Stratton pula keluar dari IRON MAIDEN disebabkan oleh perbezaan pendapat mengenai hala tuju muzik. Masa yang singkat antara album pertama dengan album ini juga tidak membantu menyelesaikan masalah dalaman IRON MAIDEN. Mungkin disebabkan kepada Steve Harris yang sarat memikirkan politik band menyebabkan kreativiti beliau tersekat yang akhirnya IRON MAIDEN banyak meletakkan lagu-lagu lama yang tidak sempat dimasukkan pada album pertama. Dengan lain perkataan, lagu-lagu di dalam album ini adalah lagu lebihan. Selain Prodigal Son dan Murders In The Rue Morgue, yang lain-lainnya semua adalah lagu-lagu lama. Wrathchild dan Drifter telah dimainkan sejak awal lagi. Kritik mengatakan bahawa album ini kurang menyengat kerana menggunakan idea-idea yang lama. Namun masuknya produser terkenal Martin Birch (Black Sabbath, Deep Purple, Whitesnake) banyak membantu terutama dari segi produksi album yang kemas. Ia menaikkan sedikit level lagu-lagu di dalam album ini. Andaikata produksinya sama seperti album pertama sudah tentu album ini secara terang-terangan dikatakan sebagai album lebihan yang sekunder.
THE NUMBER OF THE BEAST (1982)
Lagu-lagu lebihan semuanya telah digunakan. Steve Harris perlu mengarang lagu-lagu baru. Dateline album ketiga sudah hampir. Untungnya masalah dalaman telah selesai. Paul Di’Anno dan Dennis Stratton ditendang keluar dan diganti oleh Adrian Smith dan Bruce Dickinson. Adrian adalah kawan lama Dave Murray dan mereka pernah bersama dalam band sebelum IRON MAIDEN. Bruce pula telah dinilai oleh Steve beberapa tahun sebelumnya sebagai penyanyi yang sangat baik – yang kelakarnya – Bruce juga sudah menilai IRON MAIDEN dengan fikiran bahawa beliau lebih layak untuk manjadi vokalis IRON MAIDEN. Dengan lain perkataan – line up ini seperti berdetik dengan baik sekali. Ditambah dengan kebolehan Adrian dalam mengarang lagu dan suara Bruce yang operatik memberikan ruang yang lebih untuk Steve meluaskan ruang lingkup penulisan lagu beliau. Adrian diatas keupayaan beliau telah mengarang lagu The Prisoner, 22 Acacia Avenue dan Gangland dan Steve telah menggunakan keupayaan vokal operatik Bruce untuk lagu Hallowed Be Thy Name, Invaders dan Run To The Hills yang mustahil dapat dinyayikan oleh vokal punk Paul Di’Anno. Impak album ini sungguh hebat sekali. Album ini diiktiraf sebagai album klasik yang membungkus dua album pertama dengan sekaligus. Pendapat ini dipersetujui oleh majoriti peminat tegar IRON MAIDEN walaupun saya sedikit berlainan pendapat dari segi produksinya.
PIECE OF MIND (1983)
Inilah adalah album pertama dengan line-up klasik Steve Harris, Bruce Dickinson, Dave Murray, Adrian Smith dan Nicko McBrain yang berlanjutan sepanjang 4 buah album. Drummer, Clive Burr telah mengundur diri akibat dari jadual peribadi yang bercanggah dengan jadual band. Kehadiran Nicko menggantikan Clive telah memberikan impak yang tak kurang besar kerana gaya permainan Nicko lebih teknikal dan bersahaja sedangkan Clive terlampau diprogram dan kurang kreatif. Untuk membuktikan beliau adalah pilihan pemain drum yang sempurna, Nicko telah mengeluarkan segala skil beliau yang ada dan ini diakui sendiri oleh Steve Harris; dengarkan saja drum beliau dalam lagu Where Eagles Dare. Album ini menjadi album paling disukai oleh Bruce Dickinson dan ini kita akuit bersama dengan kekuatan lagu Revelations, Flight Of Icarus, The Trooper dan Die With Your Boots On. Produksi album ini saya kira agak nipis tidak seperti TNOTB yang lebih bassy. Namun ia menyerlahkan lagi kebersihan produksi album ini. Kulit muka album juga adalah kurang menarik walaupun tajuk Piece Of Mind itu sendiri adalah parody kepada peace of mind.
Powerslave (1984)
POM lebih merupakan sesi suaikenal antara Nicko dan yang lainnya. Apabila Powerslave dirakam, kesefahaman sudah menjadi padu. Nicko tidak perlu menunjukkan kehebatan beliau memainkan drum untuk menunjukkan kesesuaian beliau bersama Iron Maiden. Dengan ini bermulalah zaman kegemilangan Iron Maiden yang berlanjutan hingga dua lagi album selepasnya. Ketika ini, permintaan untuk show mereka berlipat ganda menyebabkan mereka memulakan tour sebelum album ini dilancarkan yang mana ketika show tersebut lagu-lagu Powerslave dimainkan terus tanpa menunggu rilisnya Powerslave. Tour untuk album ini juga dikatakan sebagai tour paling panjang dalam sejarah Iron Maiden menjangkau sehingga 11 bulan lamanya. Tema album ini adalah sejarah kuno Mesir berdasarkan kepada rekabentuk album ini juga beberapa lagu yang berkaitan samada dari segi lirik mahupun melodinya. Tanpa syak lagi, album ini dipenuhi dengan lagu-lagu klasik Iron Maiden antaranya Aces High, 2 Minutes To Midnight, Poweslave dan lagu paling epic pernah dirakamkan, Rime Of The Ancient Mariner. Lagu-lagu lain walaupun jarang atau tidak pernah dimainkan secara live seperti The Duellists dan Back In The Village; namun kepada peminat Iron Maiden, lagu-lagu ini juga dianggap sebagai klasik dan selalu diminta untuk dimainkan secara live walaupun tidak diendahkan oleh Iron Maiden sendiri.
Somewhere In Time (1986)
Selepas hamper setahun sibuk dengan tour seluruh dunia, Iron Maiden berehat selama setahun sambil merilis album Live After Death (1985). Somewhere In Time yang dirilis pada tahun berikutnya memaparkan Iron Maiden menerjah ke tema futuristic pula. Rekabentuk album menunjukkan mascot, Eddie, di sebuah Bandar futuristik. Dalam lukisan muka album ini dipenuhi dengan trivia yang memerlukan satu mukasurat penuh yang lain untuk membincangkannya. Lukisan muka yang penuh dengan trivia ini sudah bermula sejak album Powerslave lagi tetapi kulit album inilah yang paling ekstensif. Walaupun begitu, trademark Steve Harris yang gemar menceritakan kembali hal berkaitan sejarah masih diteruskan di dalam album ini. Alexander The Great, sebuah lagu epik yang pada saya mempunyai kekuatan hampir dengan Rime of the Ancient Mariner, menjadi permintaan ramai walaupun Iron Maiden sendiri tidak pernah memainkan lagu ini secara live. Mereka bereksperimentasi dalam album ini dengan menggunakan guitar-synthesizer semasa proses rakaman menjadikan album ini pada saya sangat berat walaupun sedikit pelik dengan sound yang sebegitu. Lagu Wasted Years, Heaven Can Wait, Stranger In a Strange Land dan The Loneliness of a Long Distance Runner (lagu kegemaran saya), menjadi siulan peminatnya.
Seventh Son Of A Seventh Son (1988)
Eksperimentasi Iron Maiden berterusan dengan album ini. Penggunaan guitar-synthesizer diteruskan ditambah dengan penggunaan keyboard yang tidak pernah digunakan sebelum ini. Tambahan dari ini, susunan lagu pun bertambah kompleks dan unsur progresif rock yang dimetalkan amat menyerlah sekali sesuai dengan minat Steve Harris denga band progresif rock 70an. Kali ini tema fantasi menjadi pilihan mereka. Pada kulit album, Eddie dipaparkan memegang janin bayi dari perutnya yang sekerat memberikan imej kedongengan kepada album ini. Penggunaan gitar akustik juga menjadi pilihan seperti pada intro dan outro album, lagu Infinite Dreams dan The Prophecy. Album ini dilihat sebagai kemuncak eksperimentasi Iron Maiden dalam memasukkan unsur-unsur jazz, progresif rock dan juga tema-tema yang bersifat avant-garde yang mana ketika itu band metal yang lainnya sibuk dengan lagu-lagu bertema awek, cinta, amarah hati dan sebagainya. Mungkin disebabkan kemuncak ini jugalah gitaris, Adrian Smith mengambil keputusan untuk keluar dari Iron Maiden kerana mungkin pada pendapat beliau, tiada apa lagi pembaharuan lain yang dapat dilakukan di dalam Iron Maiden.
No Prayer For The Dying (1990)
Seolah-olah penat dengan eksperimentasi pada 3 album sebelumnya, Iron Maiden kembali dengan album yang paling rock’n’roll dalam sejarah mereka pada tahun 1990. Adrian Smith juga telah menarik diri yang melihat posisi beliau diambil alih Janick Gers yang merupakan kawan kepada Bruce Dickinson. Janick yang ketika itu telah membuat keputusan untuk menggantung gitar kerana gagal dengan setiap projek muzik beliau, seterusnya kekal hingga ke hari ini sebagai gitaris yang paling kontroversi di dalam Iron Maiden disebabkan permainan gitar beliau yang liar dan tidak boleh diberi definisi. Janick telah mengenali Bruce Dickinson yang sebelum ini menggunakan khidmat beliau di dalam album solo Bruce yang pertama, Tattooed Millionaire. Bruce juga telah mengubah stail vokalnya kepada nada yang lebih keras, sesuai dengan konsep album ini yang sudah tidak lagi mementingkan bunyi gitar eksperimen, sebaliknya berlari togel dengan bunyi distortion yang asas. Peminat Iron Maiden mendapati agak sukar untuk memperbetulkan persepsi mereka setelah disajikan dengan album yang berbentuk eksperimental sebelumnya menyebabkan jualan album ini kurang memberansangkan. Di sebalik itu, ia memberi ruang yang lebih luas kepada Iron Maiden untuk mencari peminat baru hasil dari adaptasi lagu Bring Your Daughter… To The Slaughter untuk filem A Nightmare on Elm Street 5: The Dream Child.
Fear Of The Dark (1992)
Ketika album ini dirilis, Heavy Metal bukan lagi menjadi tumpuan peminat muzik akibat dari lahirnya muzik genre baru dari Seattle, iaitu grunge. Hampir keseluruhan gergasi Heavy Metal merilis album yang paling hambar dalam sejarah mereka, termasuklah Iron Maiden sendiri. Album ini kecundang dari segi produksinya yang mendap dan hambar, berbeza dengan album sebelumnya yang jelas dan nyata. Martin Birch yang menjadi produser kepada album-album Iron Maiden semenjak dari album Killers lagi, pencen dari tugasnya selepas album ini; seolah-olah menunjukkan beliau sudah tidak lagi berminat untuk meneruskan kecermelangan hasil tangan beliau. Ditambah dengan produksi yang buruk, hubungan antara Bruce Dickinso dengan yang lain-lainnya menjadi renggang malah dikatakan berlaku pergaduhan senyap di atas pentas yang akhirnya menyaksikan pengunduran Bruce dari Iron Maiden ketika tour sedang berlangsung. Selain dari Fear Of The Dark, Afraid to Shoot Strangers dan Wasting Love,9 buah lagu yang lainnya dilihat sebagai lagu-lagu untuk mencukupkan album saja dan tidak lebih dari itu. Kulit album ini juga dikatakan sebagai antara yang paling buruk sepanjang karier Iron Maiden yang memaparkan Eddie yang berbentuk pokok hasil lukisan pengganti Derek Riggs (yang melukis untuk kesemua album Iron Maiden hingga album Seventh Son).
The X Factor (1995)
Album ini menyaksikan Blaze Bayley dari band Wolfsbane mengambil tempat Bruce setelah ratusan audition dibuat. Ramai juga dari kalangan peminat Iron Maiden meramalkan yang Michael Kiske (bekas vokalis Helloween) akan mendapat posisi tersebut berdasarkan dari suara beliau yang tinggi dan operatik yang dilihat sangat sesuai untuk menggantikan Bruce Dickinson. Blaze adalah langit dan bumi bezanya dengan Bruce. Yang paling ketara ialah suara beliau yang lebih bassy dan dalam berbanding dengan Bruce. Ini menyebabkan lagu-lagu Iron Maiden yang biasanya memerlukan vokalis menarik tinggi suara digubah menjadi sebaliknya. Walaupun kesesuaian pada lagu-lagu yang ditawarkan itu ada namun Blaze menerima padahnya apabila cuba menyanyikan lagu-lagu Bruce semasa persembahan live. Namun begitu, album ini ada kekuatannya yang tersendiri. Antaranya, album ini adalah album paling gloomy dan atmospheric di dalam sejarah Iron Maiden. Majoriti melodi di dalam album ini adalah berentak perlahan dan menggosok jiwa dan meninggalkan elemen berat dan keras dalam komposisi lagu. Ini menempatkan lagu Sign Of The Cross sebagai antara lagu yang paling atmospheric dalam sejarah Iron Maiden selain dari menjadi lagu kedua paling panjang selepas Rime of The Ancient Mariner. Lord Of The Flies dan Man On The Edge memaparkan kewibawaan Blaze dalam membawa lagu-lagu Iron Maiden mengikut keunikan suara beliau. Selain dari itu; Look For The Truth dan Blood On The World Hands juga mempunyai keunikannya yang tersendiri terutama pada riff gitar yang mempunyai break; sesuatu yang baru dari Iron Maiden. Kulit muka album juga adalah unik kerana buat pertama kalinya ia bukan dari lukisan tetapi dari berbentuk ukiran.
Virtual XI (1998)
Album kedua dan terakhir bersama dengan Blaze Bayley ini gagal dimanfaatkan oleh Iron Maiden untuk menaikkan kembali nama Iron Maiden di persada muzik Heavy Metal. Sebaliknya, bersama dengan album Fear Of The Dark, ia menjadi album paling kurang kreatif dan paling hambar. Lagu The Angel And The Gambler contohnya mempunyai satu baris lirik yang diulangi sebanyak 22 kali yang dilihat oleh pengkritik sebagai menyesakkan nafas mengulanginya. Begitu juga dengan lagu lainnya seperti Lightning Strikes Twice, The Educated Fools dan lainnya yang kurang menyengat baik dari segi struktur lagu mahupun korusnya. Yang mungkin sedikit menjadi penyelamat adalah lagu The Clansman dan Futureal. Mungkin disebabkan ini, kehadiran Blaze semakin ditolak ramai yang akhirnya menyebabkan penyingkiran beliau dari Iron Maiden selepas tour album ini.Zaman tour di dalam kelab juga berakhir (akibat dari populariti yang menurun) berbanding dengan album Fear Of The Dark dan sebelumnya yang dimainkan di arena besar dan stadium.
Brave New World (2000)
Bermulanya era baru Iron Maiden di dalam kurun yang baru. Bruce Dickinson dan Adrian Smith kembali menjadikan ahli Iron Maiden 6 orang (sebelum ini 5). Trio gitaris; Adrian, Dave dan Janick kini dikenali sebagai The Three Amigos atas karektor mereka yang unik di atas pentas. Walaupun Janick masih lagi dikritik tetapi kalau diikutkan senioriti, penglibatan beliau bersama Iron Maiden adalah lebih lama dari Adrian Smith yang dilihat sebagai penyelamat Iron Maiden dari kejatuhan. Ini menolak terus kemungkinan Janick dikeluarkan dari Iron Maiden. Album ini disambut dengan kegembiraan oleh peminat mereka yang setia yang menunggu kenaikan semula gergasi Heavy Metal ini. Sesuai dengan itu, Iron Maiden mula kembali di atas pentas besar antara lain bermain di festival rock tersohor, Rock In Rio dengan jumlah penonton sekitar 250,000 orang. Hubungan antara Bruce dan Adrian bersama yang lainnya lebih santai dan nampaknya semua telah memahami peranan masing-masing. Steve Harris juga dilihat sebagai lebih diplomatik dan tidak menggunakan kuasa veto beliau. Untuk itu lagu-lagu juga menjadi lebih berkualiti. The Wicker Man, Ghost Of The Navigator, Blood Brothers dan Out Of The Silent Planet adalah antara lagu yang hebat di dalam album ini. Di kalangan peminat tegar, album ini dikatakan sebagai album terbaik dalam sejarah Iron Maiden ‘reunion’ ini.
Dance Of Death (2003)
Kejayaan Brave New World berserta dengan tour yang hebat selepasnya menjadikan album ini menjadi album yang sangat dinanti-nantikan. Namun Dance Of Death tidak dapat dikatakan sebagai album yang lebih baik dari Brave New World walaupun pendapat ini boleh saja diperdebatkan lagi. Dua buah lagu pertama Wildest Dreams dan Rainmaker (yang dijadikan single) walaupun menepati turutan lagu untuk album-album sebelumnya – lagu ‘gembira’ tetapi ia kurang menyengat dan ‘kegembiraan’ itu terlebih. No More Lies pula mempunya korus yang hebat tetapi kurang pada bait liriknya yang lain. Yang menyelamatkan adalah lagu epik Paschendale, Montsegur dan Dance Of Death. Produksi album juga agak kurang menyerlah dari album sebelumnya dan ia diakui sendiri oleh ramai peminat Iron Maiden. Untuk itu, produser Kevin Shirley dikritik hebat kerana menggunakan konsep rakaman live (bukan track by track seperti kebiasaan) untuk album ini. Kritikan juga diberi kepada kulit muka album yang sebenarnya adalah lukisan komputer yang tidak siap tetapi disukai oleh Iron Maiden lantaran menyebabkan pelukisnya, Cavid Patchett enggan dikredit di dalam album.
A Matter of Life and Death (2006)
Album kedua paling atmospheric dan gloomy selepas The X Factor. Ini semua berdasarkan kepada tema peperangan yang menonjol sekali juga tema keagamaan yang berkait dengan peperangan. Dari segi ini saya dapat merasakan umur yang semakin meningkat pada anggota Iron Maiden diterjemahkan ke dalam lagu. Different World, lagu ‘gembira’ pada track pertama berlirikkan tentang rambut sama hitam, hati lain-lain – oleh itu terimalah perbezaan itu dengan hati yang terbuka. The Greater Good of God, Brighter Than A Thousand Suns dan Lord Of Light berkisarkan tentang keagamaan dan selebihnya seperti lagu These Colours Don't Run dan The Longest Day berkisar tentang peperangan. Cuma tinggal The Reincarnation of Benjamin Breeg yang keluar dari keseluruhan tema; apakah ianya hanya Steve Harris yang mengetahuinya. Daripada 10 buah lagu, 7 darinya adalah 6 minit dan keatas setiap satu, menjadikan ini album kedua paling panjang selepas The X Factor. Teknik rakaman secara live diteruskan untuk album ini dan walaupun ia tidak sebaik rakaman track by track, kualitinya lebih baik dari album Dance Of Death. Kulit albumnya paling menarik sejak Somewhere In Time dengan Eddie dan barisan tenteta tengkorak bergerak di medan perang ditemani dengan kereta kebal hasil lukisan Tim Bradstreet yang dikenali sebagai pelukis komik Punisher. Jika anda berpeluang mendapatkan versi CD + DVD, tentunya anda puashati dengan dokumentari sesi rakaman album ini. Jika tidak pun, album ini sudah cukup mengekalkan mereka sebagai band Metal yang disegani.
The Final Frontier (2010)
Lagu percuma, untuk muat turun, El Dorado, diterima dengan reaksi yang pelbagai. Ada yang mengatakan lagu ini tiada apa menariknya tetapi ada juga yang mengatakan ianya sebuah lagu yang agak baik. Yang nyata tiada seorang pun mengatakan ia sebuah album yang cemerlang. Ia mendebarkan kerana seperti biasa peminat Iron Maiden adalah antara peminat yang paling akif berforum dan bergosip. Apabila album ini dirilis, nyata, El Dorado adalah antara lagu paling tidak menarik di dalam album ini, mungkin selepas (atau sama dengan) lagu Mother Of Mercy. Selain dari itu, semua lagu-lagunya menarik. Antaranya, Satellite 15... The Final Frontier yang merupakan lagu mula paling cemerlang sejak lagu Tailgunner (dari album No Prayer For The Dying), cuma kalau boleh kita tinggalkan intro sepanjang 4 minit yang merimaskan itu. Coming Home mempunyai melodi gitar yang sangat indah hasil sentuhan Adrian Smith. Isle Of Avalon dan Starblind memperlihatkan elemen progresif rock/metal yang sangat menyerlah dan tidak boleh disimpan-simpan lagi. The Alchemist dan The Talisman adalah straight-out rock n roll yang mengekalkan rentak ‘kuda’ Iron Maiden. Album ini diakhiri dengan lagu epik When the Wild Wind Blows yang panjangnya hanya kalah kepada The Rime Of The Ancient Mariner (Poweslave) dan Sign Of The Cross (The X Factor). Yang kurang menarik, adalah lukisan kulit album yang seolah-olah jatuh balik kepada situasi Dance Of Death dan Virtual XI yang tidak bermaya. Namun, kekuatan album ini membuatkan kita lupa tentang kulit album (walaupun kulit album Iron Maiden sentiasa menjadi elemen penting). Sambutannya juga hebat, mendapat tempat pertama di 30 buah negara dan merupakan antara album Iron Maiden paling pantas jualannya untuk minggu pertama dirilis. Terima kasih harus ditujukan kepada kempen Somewhere Back In Tour pada tahun sebelumnya yang memberikan promosi yang luarbiasa kepada Iron Maiden selain menyuntik kesegaran kepada setiap anggotannya. Mungkin selepas ini Somewhere Back In Tour perlu diteruskan lagi agar momentum album The Final Frontier dapad dikekalkan untuk album seterusnya.
Siapa kata The Final Frontier ini adalah album terakhir? Anda tersilap!
Disiarkan dalam KARISMA Feb 2011.