Wednesday, December 15, 2010

Hitam-Hitam Dalam Gua 11/12/2010


Ulasan ditulis oleh Abang Bentara. Beliau lebih arif dalam bidang penulisan.


Gig ini agak istimewa kerana setelah beberapa lama, band pengasas Ipoh's Metal Militants Supremacist (IMM) berkongsi pentas sekali setelah beberapa lama. Band tersebut: Necrotic Chaos, Profane Creation dan Langsuyr. Yang tidak ada Athotorgh (Gea Dreamstone di Jepun) dan Hayagriva.

Tiga buah band dari lima sudah cukup untuk menjadikan ini sebuah gig yang dinanti ramai. Terutama golongan 'tua' IMM untuk keluar dari kehidupan normal mereka. Andai bukan untuk muzik pun kerana silaturrahim. Masing-masing pastinya sudah berkomitmen. Apatah lagi, ramai yang sudah tidak menetap di Ipoh - rezeki di negeri lain.

Istimewanya bertambah apabila gig ini dibuat di dalam gua. Ya, di dalam GUA. Gua Kapura yang letaknya di dalam pusat rekreasi Lost World Of Tambun. Seingat-ingat saya, tidak pernah ada gig yang dibuat di dalam gua di negara kita. Jika benar, ini adalah gig dalam gua pertama dan pastinya ia terpahat di dalam sejarah (walaupun tidak diiktiraf oleh Malaysian Book Of Records).

Saya berkira-kira mahu menonton saja tetapi apabila diberitahu oleh Azlan (vokalis Langsuyr) yang beliau tidak ikut serta atas sebab menguruskan kenduri akikah anaknya, maka saya memberi satu cadangan liar - saya menggantinya sebagai vokalis - bukan gitar seperti biasa. Maka dari sebab itu, saya sudah tidak jadi penonton. SMS terus dihantar kepada Bob (Pyron) selaku organizer untuk membatalkan tiket yang telah ditempah.

Oleh itu saya tidak dapat nak merebiu band di dalam gig ini. Saya perlu menukar gaya rebiu kepada memoir.

Walaupun saya menulis semua lirik Langsuyr tetapi saya tidak pernah menghafalnya. Ini menjadi masalah utama. Gig dalam masa 3 hari dan saya perlu bersedia. Untuk lagu-lagu dari demo Occultus Mysticism (1993), saya perlu ubah liriknya ikut kesesuaian zaman ini. Nota - lirik itu ditulis ketika saya berumur 17 tahun jadi gayanya seperti remaja umur 17 tahun. Saya kira, jika ianya digermankan pun, tidak ada siapa yang ambil kira (kecuali yang benar-benar die-hard - sesuatu yang perlu saya risaukan sedikit).

"Bertolak ke venue lepas Asar 5/6pm" begitu sms Adik Necrotic Chaos apabila saya bertanya mengenai pelan perjalanan. Saya di Tronoh, yang lainnya di Ipoh, menjadikan saya seorang yang bakal tertinggal jika tidak mengambil berat hal ini. Dengan waktu yang telah diberikan oleh Adik NC, maka saya akan tertinggal band yang bermain pada awal waktu.

Apa boleh buat? Memandangkan kami juga perlukan masa rehat dan persediaan yang cukup sebelum beraksi. Mungkin ada ulasan lain di alam maya mengenai band yang bermain sebelum dari kami. Saya sebenarnya mahu menonton tetapi saya juga beraksi. Saya terpaksa memilih antaranya dan saya memilih rehat dan persediaan.

Yang sebenarnya, saya bersama dengan Langsuyr tidak pernah berlatih untuk gig ini. Langsuyr sudah berlatih di KL. Lebih 5 tahun tanpa latihan, agak menggusarkan. 5 lagu yang diberi oleh Azman untuk gig ini menjadi masalah untuk dihafal. Saya berfikir untuk mencetak lirik dan menggunakannya di atas pentas kerana mustahil saya dapat menghafal kesemuanya.

Ketika sampai di venue, betul-betul masa untuk Profane Creation naik pentas. Line up seperti di dalam demo mereka kecuali vokalis yang baru. Vokalis sebenarnya adalah pengurus mereka zaman itu tetapi disebabkan vokalis asal tidak bersedia untuk naik pentas kembali, maka beliau menggantikannya. Persembahan mantap dari mereka memainkan lagu-lagu dari demo dan juga cover Agressor - Dark Power. Mereka adalah salah satu band technical Death Metal terawal di Ipoh. Susunan lagu yang kompleks dengan riffs gitar yang bukan semua orang mampu memainkannya, apatah lagi menyusunnya untuk menjadi sebuah lagu. Oleh kerana saya pun agak runsing dengan waktu yang akan tiba untuk Langsuyr, maka saya tidak dapat menumpukan perhatian untuk persembahan Profane Creation.


 Gambar PROFANE CREATION kredit kepada Shahrul Khairi.

Maghrib pun masuk dan kami bersolat. Terserempak dengan Halim, bekas vokalis Hayagriva yang sekarang bergelar Ustaz mengajar di Simpang Pulai. Tak berubah langsung fizikalnya. Kecil macam dahulu juga. Doa selepas solatnya panjang dan kami mengaminkan beramai-ramai.

Necrotic Chaos mengambil tempat dan mereka disambut dengan sorakan yang luar biasa. Dengan line-up klasik; Adik (bass/vokal), Dark-E (gitar), Jadam (gitar) dan Wira (drum), mereka melanyak gua ini dengan persembahan yang over-the-top dan stage presence yang mengagumkan. Sukar untuk adrenalin kita bertenang melihat double lead solo Dark-E/Jadam dan vokal bertenaga oleh Adik. Permainan drum Wira pun sangat mantap dan tonasi hentakan beliau menggemakan Gua Kepura ini. Selesai lagu cover Morbid Angel - Days Of Suffering, mereka mahu berundur tetapi diasak oleh peminatnya untuk memainkan sebuah lagi lagu. Penonton tidak dihampakan dan sebuah lagi cover dimainkan, Venom - Countess Bathory dengan jemputan vokalis khas, Rafi Promaster (Athotorgh). Keadaan dalam gua menjadi berasak-asak dengan libasan rambut dan tangan mengiringi persembahan lagu terakhir ini.

Membuatkan saya berdebar-debar. Persembahan Necrotic Chaos yang gegak gempita ini perlu sekurang-kurangnya perlu saya keluarkan dari fikiran kerana secara psikologi, kita akan rasa rendah diri. Rendah diri di atas pentas akan menyebabkan persembahan jadi hambar. Saya perlu mengosongkan fikiran. Penonton datang untuk melihat persembahan terbaik. Saya jadikan itu sebagai kekuatan. Apa yang berlaku sebelumnya, sebenarnya tidak pernah berlaku.



NECROTIC CHAOS

Khabar angin mengatakan bahawa saya akan mengambil posisi gitar seperti kebiasaan. Yang sebenarnya, saya menggantikan Azlan di bahagian vokal. Posisi saya telah diganti oleh gitaris yang lebih baik. Lagipun, saya pun sudah lupa nota gitar untuk 5 buah lagu yang akan dimainkan. Lebih mudah pada saya untuk mengambil posisi vokal. Cuma saya faham bahawa persembahan perlu sekurang-kurangnya layak mengganti persembahan Azlan yang sudah dikenali itu. Memang tidak boleh disamakan tetapi mestilah ianya letak pada satu range yang penonton berpuashati. Saya faham akan expectation dari penonton yang datang dan saya komited untuk memberikan yang terbaik.

"Assalamuallaikum. Saya dibuang oleh Azman..." mukaddimah saya di atas pentas. Azman tersenyum. Yang kemudiannya saya perbetulkan.

"Tidak... sebenarnya saya keluar dari Langsuyr disebabkan komitmen lain dan ini adalah one-off show saya bersama Langsuyr."

Dan beberapa patah perkataan lagi yang saya pun dah lupa apa yang saya sebutkan. Mukaddimah ini perlu untuk saya meninjau penonton. Petua ini saya dapat dari pembacaan dan praktikal. Lihat penonton dan apa reaksi awal mereka dan tangani mereka mengikut persediaan mereka.Saya dapati penonton agak hidup (tidak nampak letih) dan bersedia menerima saya sebagai vokalis - line-up ganjil Langsuyr pada malam ini.

"Occultus Mysticism...!" jerit saya mengumumkan lagu pertama disambut dengan gemuruh penonton yang berada di dalam gua.

Lagu-lagu Langsuyr bukanlah Death Metal tulen. Ianya ada saduran Thrash Metal yang agak kuat tetapi tidak terlampau thrashy. Juga ada elemen Heavy Metal. Ini perlukan adaptasi pentas yang betul. Menghayun kepala sepanjang perjalanan lagu seperti kebiasaan band Death Metal, sudah tentu tidak sesuai. Melonjak ke udara seperti band Heavy Metal juga agak janggal. Maka saya mengambil jalan tengah. Sesekali menghayun kepala (sesuatu yang saya sesali kerana sakit tengkuk yang terasa sehari selepasnya) dan pada masa yang lain membuat aksi penyanyi Heavy Metal - cukup dengan memek muka dan arahan kepada penonton untuk sama-sama bekerjasama.

Ada juga masa dimana penonton kelihatan letih yang menyebabkan mereka berdiri tegak dan sekadar menjadi penonton (tiada kerjasama). Petuanya ialah tidak mengambil kira apa reaksi penonton. Persembahan perlu diteruskan. Mungkin ketika itu, lagu kurang sesuai atau part pada lagu kurang mendidihkan adrenalin. Ada beberapa pilihan; persembahan tanpa mengambil kira atau mengajak penonton berkerjasam. Saya memilih kedua-duanya. Apabila diajak bekerjasama tetapi tidak disambut, maka saya meneruskan persembahan seperti biasa. Yang perlu dielakkan ialah terkesan dengan suasana yang tidak positif.

Untungnya, sebahagian besar penonton sudah kenal dengan lagu-lagu yang disampaikan. Untuk lagu Mata Ayer dan Sunut, mereka yang dihadapan menyanyi bersama. Saya tersenyum di atas pentas kerana di ketika penonton menyanyikan bersama lagu tersebut - saya mencuri pandang pada kertas lirik yang saya pegang kerana tidak menghafalnya!

Suatu perasaan yang sukar digambarkan apabila penonton menyanyikan lagu yang kita cipta. Ia tentunya ada keistimewaan tersendiri. Suka saya mahu mengetahui bagaimana lagu itu didengar dan dihafal. Dan apa pandangan mereka sebenarnya terhadap lagu tersebut.

Selesai 5 buah lagu saya mengucapkan terima kasih dan saya pun turun pentas. Ini tidak dipersetujui oleh penonton yang menjerit bersama.

"WE WANT MORE! WE WANT MORE!"

Sorakannya kuat. Sekuat jeritan reformasi 10 tahun dahulu. Saya menunggu keputusan dari Azman selaku ketua band. Dia mengangguk tanda untuk memainkan satu lagi lagu.

"Lagu ini saya tidak berlatih... kalau berterabur, padan muka" saya menyatakan kepada penonton yang menggelakkan saja kenyataan saya ini.

"Terimalah... Tangisan Embun Pagi!"

Masalah lagu ini ialah liriknya panjang dan ia berbahasa Melayu. Andai kata lirik English, boleh saja digermankan (istilah hentam). Lagu ini berbeza. Dan istimewa. Kerana sewaktu lagu ini dicipta, majoriti band di Malaysia takut untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara. Langsuyr adalah antara band Death Metal pertama yang menggunakan lirik Melayu pada ketika itu.

Untungnya lagu ini berjalan dengan lancar. Semuanya on-the-dot. Tiada kesalahan yang saya perasan.





LANGSUYR

Persembahan pun berakhir. Muka puashati kelihatan pada banyak wajah. Saya juga berpuashati. Persembahan pertama sebagai vokalis ini sudah pastinya menjadi memori yang sukar untuk dilupakan.

Selepas sesi fotografi individu dan berkumpulan kami pun bersurai. Ahli mesyuarat IMM perlu ke rumah Jadam kerana ada sesi BBQ di sana. Ah... selepas gig apalagi yang lebih menarik dari sesi BBQ ini. Kami bergegas ke sana.





*Kredit gambar NECROTIC CHAOS dan LANGSUYR oleh Mr Tajul Ariffinus.

Ehsan dari Abang Bentara : krenmaut.blogspot.com

3 comments:

  1. yea..sy trut trselit dlm gmbo last uh..haa..

    ReplyDelete
  2. yg tlg snapkn gmbo ngan bentara tu abg sy..hehe

    ReplyDelete